fbpx
Zulkifli berucap pada Persidangan Pendakwa Syarie Ke-2 Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini. foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie masuk peringkat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Cadangan bagi melaksanakan Akta Saraan Hakim Syarie dilaporkan berada  di peringkat akhir dengan dokumen berkaitan telah disediakan dan sedang dimuktamadkan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketika ini,  kajian berhubung perkara itu sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama agensi berkaitan.

“Ya, sedang dimuktamadkan, tapi ia memerlukan kajian mendalam kerana melibatkan implikasi kewangan dan sebagainya. Jadi, doakan supaya dapat disegerakan.

“Kita memang secara umumnya dokumen sudah disediakan, cuma kita perlu perkemaskan lagi kerana perlu mendapat ulasan-ulasan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) kali kedua 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, perincian mengenai cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) juga sedang diperkemas di peringkat dasar sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Katanya, dokumen mengenai perkara itu telah memasuki tahap akhir selain perlu mendapatkan ulasan-ulasan daripada pihak terlibat sebelum dibentangkan.

“Buat masa ini, cadangan tersebut masih lagi sedang diperkemas di peringkat dasar agar setiap aspek perundangan, pentadbiran, tadbir urus dan hubungan Persekutuan-Negeri dapat diperhalusi secara menyeluruh.

“Ia sekali gus memastikan pelaksanaannya kelak benar-benar tersusun, berkesan dan mampu memperkukuh keseluruhan ekosistem keadilan syariah negara,” katanya.

Katanya, sesi libat urus dengan negeri turut dilaksanakan dengan baik memandangkan penubuhan itu melibatkan usaha secara bersama.

Menurutnya, penubuhan JPSM di peringkat Persekutuan merupakan usaha strategik bagi memperkukuh penyelarasan selain meningkatkan profesionalisme dan membangunkan kompetensi Pendakwa Syarie di seluruh negara. 

“Kesemua perkembangan ini membuktikan bahawa pemerkasaan kehakiman Syariah bukan lagi sekadar suatu cita-cita, bahkan telah menjadi agenda nasional yang dilaksanakan secara tersusun dan berterusan. 

“Inilah iltizam kerajaan untuk memastikan institusi kehakiman Syariah terus dihormati, diyakini dan mampu memenuhi tuntutan masyarakat serta cabaran zaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN