BOGOTA – Taktik seorang lelaki menyamar sebagai juruterbang syarikat penerbangan komersial gagal selepas dia ditahan bersama 10 kilogram kokain yang dilekatkan pada badannya di Lapangan Terbang Antarabangsa El Dorado, Colombia, lapor akhbar The Sun UK.
Dia yang memakai seragam juruterbang, cuba menaiki penerbangan menuju Barcelona, Sepanyol.
Namun, cubaan melepasi pusat pemeriksaan keselamatan gagal berikutan gerak-gerinya mencurigakan.
Polis berkata, suspek sengaja berpakaian sedemikian dan memperkenalkan diri sebagai kru penerbangan antarabangsa untuk mengelak daripada diperiksa.
“Suspek cuba mengeksploitasi autoriti dan imej yang ada pada seragam juruterbng,” kata seorang jurucakap polis.
Pemeriksaan terperinci menggunakan mesin pengimbas badan bagaimanapun membawa kepada penemuan beberapa bungkusan dadah disembunyikan di dalam pakaian dan pada badannya.
Suspek kini ditahan dan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun. – AGENSI















