fbpx
ORANG ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan haiwan peliharaan di OH MY MEOW EXPO yang berlangsung di MVEC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ekspo didik pemilik haiwan lebih bertanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENERAJUI kempen ‘Pemilikan Haiwan Peliharaan Bertanggungjawab’, OH MY MEOW! EXPO 2026 kembali lagi untuk tahun keempat penganjuran bagi memupuk masyarakat yang lebih penyayang terhadap haiwan.

Berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 Julai lalu di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Kuala Lumpur, ekspo itu menghimpunkan 300 pempamer, sekali gus menjadi hab sehenti bagi inovasi kesihatan, pemakanan dan gaya hidup untuk haiwan kesayangan.

Menurut wakil penganjur, Calvin Soh, misi utama ekspo itu adalah untuk memupuk rasa bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan, meningkatkan piawaian penjagaan beretika, kebajikan haiwan dan pengurusan haiwan peliharaan yang lebih bermaklumat di seluruh Malaysia.

“Oleh itu, kami menyediakan platform khusus untuk peminat kucing, dengan menghubungkan mereka bagi mencari penyelesaian kepada penjagaan haiwan peliharaan yang canggih, nutrisi premium dan inisiatif kebajikan digerakkan oleh komuniti pencinta haiwan.

“Kita nak pastikan semua orang jadi pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab untuk jaga haiwan-haiwan ini seumur hidup tanpa mengabaikan kebajikannya.

“Usaha ini juga dapat mendidik masyarakat agar menjadi insan penyayang dan mengelak kejadian penderaan terhadap haiwan seperti dipaparkan di media,” katanya.

CALVIN dan Jaice menunjukkan sijil Malaysian Book of Records yang diraih OH MY MEOW! EXPO.

Tambahnya, kempen ‘Pemilikan Haiwan Peliharaan Bertanggungjawab’ pada tahun ini turut menampilkan ikon kulinari negara, Datuk Cef Wan yang bersama-sama menyemarakkan lagi rasa kasih sayang terhadap haiwan.

Untuk makluman, OH MY MEOW! EXPO diiktiraf sebagai Ekspo Kucing Terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records sejak 2023.

Ekspo itu menjadi platform penting kepada jenama-jenama yang menjual pelbagai barangan dan perkhidmatan haiwan peliharaan bagi mempromosikan produk terbaharu mereka.

Calvin berkata, tarikan utama ekspo itu pada kali ini adalah previu eksklusif JAECOO J5 EV iaitu kenderaan pertama di negara ini yang menawarkan kabin binaan khas mesra haiwan.

Kenderaan tersebut mampu menjadikan perjalanan lebih selamat dan selesa bagi haiwan kesayangan.

Sementara itu, Penganjur Bersama OH MY MEOW! EXPO 2026, Jaice Tan berkata, pihaknya sangat berbangga melihat ekspo tersebut berkembang dan menjadi perubahan penting kepada nilai kasih sayang kepada haiwan.

“Dalam usaha memperkasakan kebajikan dan penjagaan haiwan, kami banyak menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

“Usaha itu bagi memastikan ekspo ini memberi pelbagai manfaat serta maklumat berguna kepada pemilik haiwan.

“Kami juga aktif menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyokong pengambilan haiwan peliharaan (adoption) dan menjaga kebajikan haiwan.

“Sebagai sebahagian daripada ekspo ini, OHMYPET! Expo turut diadakan bagi program ‘adoption’ di The Mall, Mid Valley Southkey, Johor pada 25 hingga 26 Julai ini.

“Ekspo ini memberi peluang kepada orang ramai yang mahu membela kucing atau anjing,” katanya.

KENDERAAN JAECOO J5 EV yang menawarkan kabin binaan khas mesra haiwan turut dipamerkan semasa ekspo.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung, Azlin Zakaria, 24, berkata, OH MY MEOW! EXPO sangat membantunya sebagai pemilik kucing untuk mendapatkan pelbagai tip dan ilmu berkaitan penjagaan haiwan.

“Sejak dianjurkan pada 2023, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk datang ke ekspo ini kerana boleh melihat pelbagai pameran, beramah mesra dengan pemilik-pemilik kucing dan mendapatkan pelbagai barangan untuk lima ekor kucing saya.

“Saya juga dapat bersemuka dengan pemilik kucing lain untuk bertukar-tukar pendapat mengenai pengalaman mereka menguruskan haiwan kesayangan.

“Oleh itu, ekspo ini memberikan pengalaman yang sangat bermanfaat dan mengujakan bagi saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN