PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membebaskan dan melepaskannya daripada empat pertuduhan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sebagai kemenangan buat keadilan dan institusi kehakiman negara.
Beliau berkata, sepanjang enam tahun berdepan proses perundangan, beliau tidak pernah gentar atau meminta layanan istimewa kerana yakin berada di pihak yang benar.
“Sebelum dibawa ke mahkamah, saya tidak pernah tunduk, tidak pernah takut, tidak menggunakan kekerasan dan tidak pernah meminta layanan istimewa kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar.
“Saya tidak melakukan kesalahan dan saya berpegang kepada prinsip serta keberanian kerana itulah yang betul,” katanya pada sidang media selepas keputusan di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, tempoh enam tahun itu bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah turut menguji ibu bapanya, keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan dalam politik.
Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengukuhkan keyakinannya terhadap kebebasan institusi kehakiman sebagai benteng terakhir rakyat untuk mendapatkan keadilan.
“Saya berharap selepas keputusan ini, saya dapat terus mempertahankan institusi keadilan negara, kebebasan badan kehakiman dan institusi yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat,” katanya.
Beliau berkata, perjuangannya bukan sekadar membersihkan nama sendiri, sebaliknya mahu memastikan tiada lagi individu melalui pengalaman sama hanya kerana perbezaan fahaman politik.
“Saya berharap tiada lagi sesiapa, termasuk musuh politik saya sendiri, yang perlu melalui apa yang saya lalui. Akhirnya, walaupun kita berbeza pandangan politik, kita semua adalah rakyat Malaysia yang mahu melihat negara ini terus maju,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan pecah amanah, salah guna dana Armada dan pengubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE















