fbpx
Antara individu yang ditahan JIM dalam serbuan di sebuah premis di Len Seng, awal pagi tadi.

Pusat karaoke eksklusif ‘bawah tanah’ diserbu, 52 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Taktik licik menukar parkir bawah tanah kondominium mewah di Taman Leng Seng, di sini, menjadi pusat karaoke eksklusif dengan menyajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, awal pagi tadi.

Op Gegar kira-kira pukul 1 pagi itu dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil maklumat dan risikan.

Premis tidak berlesen yang dilengkapi tiga pintu besi tebal selain televisyen litar tertutup (CCTV) di setiap pintu masuk, bagaimanapun gagal menyekat serbuan pihak berkuasa.

Malah, kelab eksklusif berkenaan hanya membenarkan kemasukan pelanggan tetap dan mempunyai lebih 10 bilik.

Beberapa pelanggan yang ditemui tidak mengakui bahawa gadis-gadis di dalam premis tersebut datang bersama mereka dan rata-rata mendakwa GRO warga asing terbabit disediakan pihak premis.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, hasil siasatan awal pihaknya percaya premis itu mengenakan caj mencecah RM1,300 bagi tempoh enam jam merangkumi bilik, minuman keras dan pelayan.

“Berdasarkan siasatan awal kami percaya wanita warga asing ini bekerja secara sukarela sebagai GRO di premis ini. Kita percaya premis ini baru beroperasi kira-kira dua bulan,” katanya selepas operasi di sini semalam.

Menurutnya, seramai 52 individu ditahan membabitkan empat warga tempatan antaranya tiga lelaki berperanan sebagai penjaga dan pengurus premis serta seorang wanita disyaki menguruskan GRO terbabit.

“Warga asing ditahan membabitkan wanita disyaki GRO terdiri daripada 33 warga Vietnam, Thailand (satu) dan selebihnya pekerja lelaki iaitu 10 warga Bangladesh, Myanmar (empat), dan China seorang.

“Notis saman saksi turut dikeluarkan kepada 19 pengunjung warga tempatan,” katanya.

Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk dokumentasi dan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN