PASIR PUTEH – Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada Barisan Nasional (BN) bagi penggal 2004 hingga 2008, Datuk Che Min Che Ahmad meninggal dunia petang tadi.
Allahyarham yang berusia 79 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik air oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 3 petang.
Cucu saudaranya, Nur Zirahaida Sohok, 37, berkata, kejadian itu disedari oleh ahli keluarga selepas Allahyarham tidak hadir ke majlis tahlil.
“Hari ini merupakan kenduri 100 hari arwah bapa saya. Allahyarham baru pulang dari Bangi, Selangor pagi tadi untuk menghadiri majlis tersebut.
“Saya sempat menghubunginya pagi tadi sebelum bertanya mengenai sarapan, namun dia maklumkan sudah penat dan tidak mahu makan. Allahyarham biasanya tidak begitu kerana merupakan seorang yang sangat mengambil berat, aktif dan tidak pernah mengenal erti penat walaupun sudah berusia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nur Zirahaida memberitahu, menyedari sesuatu tidak kena, keluarga bergegas ke rumah untuk membuat pemeriksaan sebelum terdengar bunyi air di dalam tandas.
Katanya, selepas membuka pintu tandas, mereka mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang banyak menabur bakti kepada masyarakat dan negara sepanjang penglibatannya dalam dunia politik serta khidmat kepada rakyat.
“Saya mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan yang telah dilakukan selain menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – KOSMO! ONLINE















