fbpx
Antara suspek yang direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Terlibat sindiket warga asing, SPRM reman 10 pegawai penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seramai 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa dan penjawat awam kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Kesalahan itu melibatkan hal berkaitan warga asing seperti berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.

Operasi bersepadu yang dijalankan hari ini melalui Bahagian Perisikan dan SPRM negeri telah diadakan di empat negeri iaitu Putrajaya (Op Layer), Selangor (Op Dalang), Negeri Sembilan (Op Raider) dan Melaka (Op Genuine).

Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an telah ditahan antara pukul 10 pagi hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM yang terlibat.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2026 dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Bagi 10 orang pegawai penguat kuasa pula kesemuanya dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan juga mengeluarkan visa, pas dan permit tanpa melalui prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Tambah sumber, selain itu ada juga kesalahan lain yang dilakukan seperti mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi permohonan dan mendapatkan kuota pekerja asing.

Risikan yang dijalankan sejak Jun tahun lalu menyasarkan seramai 43 individu di keempat-empat negeri yang dikaitkan dengan warga asing.

Kata sumber, melalui operasi tersebut juga SPRM telah menahan seramai 38 individu bagaimanapun lima lagi suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Susulan itu, di Mahkamah Majistret Putrajaya, perintah reman selama lima hari sehingga 13 Julai depan terhadap enam suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah.

Manakala di Mahkamah Majistret 3, Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor pula, Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin membenarkan kesemua 14 suspek direman selama empat hari sehingga 12 Julai bermula hari ini.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, perintah reman selama empat hari sehingga 12 Julai ke atas lima orang suspek, manakala dua suspek selama lima hari sehingga 13 Julai dan dua suspek lagi selama sehari.

Di Mahkamah Majistret 3, Ayer Keroh Melaka pula, perintah reman selama tujuh hari sehingga 15 Julai terhadap keempat-empat suspek telah dikeluarkan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN