KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket perjudian dalam talian berkaitan Piala Dunia 2026 dengan menahan 11 individu termasuk enam warga Korea Selatan dalam serbuan di sebuah premis di Taman Desa di sini, hari ini.
Kegiatan terbabit yang beroperasi kira-kira tiga bulan dipercayai didalangi oleh seorang lelaki warga Kanada dikenali sebagai Victor yang kini difahamkan menetap di luar negara.
Serbuan bermula pukul 11.30 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Mohd. Zariezul Ismail.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, semakan terhadap peranti di lokasi serbuan mendapati sindiket berkenaan menjalankan promosi perjudian bola sepak Piala Dunia 2026 bagi pelanggan dari Korea Selatan, Jepun, dan Hong Kong.
“Semua 11 individu yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan dua wanita. Daripada jumlah itu, seramai tiga lelaki dan dua wanita adalah warga tempatan manakala enam lagi adalah lelaki warga Korea Selatan,” katanya.
Fadil berkata, polis turut merampas pelbagai kelengkapan termasuk set komputer, komputer riba, telefon bimbit, peralatan wi-fi, dan wang tunai berjumlah RM18,817.
Turut dirampas, katanya, membabitkan baki kredit bernilai $323,380.22 USDT (RM1.3 juta) dan 17,560 Won Korea (RM47).
Fadil berkata, hasil soal siasat awal mendapati pusat panggilan tersebut dikendalikan salah seorang suspek wanita tempatan yang menguruskan sewaan premis serta pekerja.
Beliau menambah, pasukan Forensik Bukit Aman turut dipanggil ke lokasi bagi membuat analisa terhadap barang kes dan mengesahkan peranti berkenaan positif digunakan untuk tujuan mempromosi perjudian.
“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (e) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














