KULAI – Rakyat Johor diseru untuk terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan kecemerlangan mentadbir negeri ini setelah mempamer rekod yang membanggakan.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dalam tempoh lebih empat tahun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah berjaya menaikkan nama Johor dengan menarik pelaburan paling tinggi selain membangunkan ekonomi negeri dengan pesat.
Katanya, Onn Hafiz kini sudah ‘separuh jalan’ untuk memuktamadkan agenda Maju Johor 2030 dan memerlukan sokongan rakyat Johor untuk meneruskan usaha memajukan negeri ini.
“Dia macam perlawanan bola sepak, tuan-tuan, puan-puan, bila kita dah ‘leading’ separuh masa pertama, buat apa kita tukar pemain? Buat apa kita tukar pasukan?.
“Biar perjalanan kita sampai 2030, Datuk Onn Hafiz tengah rancak skor gol, gol, gol, yang cari pasal tukar ‘striker’ buat apa tuan-tuan. Maknanya kita kekalkan ‘pemain’ dan juga BN, Johor berjaya merekodkan pelaburan paling tinggi dan ekonomi membangun paling pesat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama KJ dan Jafni di Southern Tiger Hub, Bandar Putra, di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Calon BN di Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni MD Shukor, calon BN di Bukit Batu, R. Kumaran dan calon BN di DUN Senai, Kiki Tai.
Khairy yang terkenal dengan panggilan KJ berkata, rakyat Johor jangan lupa kekecewaan terhadap Pakatan Harapan (PH) selama empat tahun ini selepas pelbagai janji yang ditaburkan gagal ditunaikan.
“Kita perlu ajar mereka, pengundi Cina perlu ajar mereka. (PH) menjadi Kerajaan Pusat, sombong! Angkuh! dapat jawatan menteri tak tunaikan janji, ‘scam’ rakyat.
“Kita bubar DUN bukan suka-suka, kita bubarkan DUN sebab kita nak hadiahkan rakyat Johor dengan kerajaan yang lagi kuat! Yang lagi ampuh! Yang boleh buat keputusan dengan cepat! Sebab itulah kita bertanding solo.
“Ramai yang kata sombong, tak nak duduk satu meja, tak nak bergabung. Tapi pandangan saya, tuan-tuan, elok kita tidak bergabung, elok kita bertanding solo. Senang Datuk Onn Hafiz, Datuk Jafni buat keputusan dengan pantas, bertindak untuk rakyat,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














