SUBANG JAYA – Polis sedang giat mengesan sekumpulan individu yang terlibat pergaduhan ketika sedang menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2026 dalam kejadian di sebuah restoran dekat Bandar Sunway, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki dipercayai mengalami kecederaan ringan susulan kekecohan yang tercetus.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 6.16 pagi.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan sekumpulan lelaki.
“Akibat kejadian itu, tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, merakam percakapan saksi serta memperoleh rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau apa-apa objek yang digunakan sebagai senjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-5621 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222.
Terdahulu, tular di media sosial satu video memaparkan sekumpulan individu bergaduh ketika sedang menonton perlawanan Piala Dunia, awal pagi tadi.
Video tersebut turut menunjukkan aksi beberapa lelaki membaling kerusi ke arah individu lain di lokasi. – KOSMO! ONLINE






