KUALA LUMPUR – Festival Eco-Fest 2026 bakal menghimpunkan penggiat industri seni dan budaya termasuk pereka fesyen serta kraftangan menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian alam sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Festival yang membawa slogan ‘Think Sustainable, Act Responsible’ itu dianjurkan oleh Legasi Indah dan akan berlangsung di Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 September tahun ini.
Menurut pengasas festival dan pereka fesyen terkenal, Heintje Nazarudin, 60, penganjuran festival berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar menerusi penggunaan teknik ‘eco print’, iaitu penghasilan fabrik menggunakan pewarna semula jadi daripada daun dan bunga.
“Menariknya festival ini, ia memperkenalkan produk ‘eco print’, selain memberi pendedahan mengenai fesyen lestari yang mesra alam yang berpotensi menjadi produk pelancongan negara yang unik,” katanya pada sidang media Eco-Fest 2026 Tahun Melawat Malaysia di Harta Space, Ampang.
Menurut Heintje, sepanjang festival berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran pelbagai produk ‘eco print’ termasuk pakaian, fabrik, aksesori, beg tangan dan kasut melalui pertunjukan fesyen yang menampilkan koleksi eksklusif daripada tiga pereka fesyen tempatan.
Katanya, festival itu akan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan, pertandingan dan perarakan berskala besar bagi menarik perhatian pengunjung di sekitar Bukit Bintang.
“Selain pameran dan pertunjukan fesyen, kita juga menampilkan persembahan artis, pemain biola, pertandingan pencarian Dewi Rimba serta perarakan bertemakan flora dan fauna di sekitar Bukit Bintang.
“Saya percaya ia akan menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong yang berada di kawasan itu untuk singgah dan melihat sendiri keunikan Eco Fest 2026,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 16 vendor akan mempamerkan produk masing-masing sepanjang festival tersebut berlangsung selama tiga hari berturut-turut.
Dalam pada itu, Heintje berkata, beliau mengetengahkan koleksi ‘eco print’ bertaraf antarabangsa bagi memperkenalkan fesyen lestari Malaysia ke peringkat dunia.
Mengulas lanjut, beliau berkata Eco-Fest 2026 mampu mengangkat warisan negara sambil mempromosikan budaya, seni dan kelestarian selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya yakin ‘eco print’ merupakan satu produk yang boleh kita bangunkan untuk Malaysia, dengan harapan masyarakat berganding bahu mempromosikan produk ini, kerana ia juga mampu menyumbang kepada sektor pelancongan negara kita,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














