KUALA LUMPUR – Inisiatif i-Legasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan 63 permohonan membabitkan pemindahan simpanan persaraan berjumlah RM46.3 juta kepada 86 penerima setakat ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, menerusi inisiatif yang diperkenalkan pada 1 Februari lalu itu, ahli KWSP berusia 55 tahun ke atas yang mempunyai simpanan melebihi Tahap Simpanan Mencukupi RM650,000 dibenarkan memindahkan sebahagian simpanan persaraan kepada ahli keluarga terdekat yang layak.
“Langkah ini membantu meningkatkan tahap simpanan ahli, dengan kecukupan simpanan dinilai berdasarkan Simpanan Asas mengikut umur yang ditetapkan.
“Usaha yang dilaksanakan KWSP ini secara langsung membantu meningkatkan tahap simpanan ahli berdasarkan ukuran Simpanan Asas mengikut umur,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai strategi kerajaan memastikan rakyat mempunyai simpanan dan pendapatan persaraan yang mencukupi menjelang Malaysia menjadi negara menua pada 2030.
Menurut Chin Tong, setakat 31 Mei lalu, seramai 3.04 juta ahli aktif KWSP warganegara berusia 18 hingga 60 tahun atau 38.3 peratus daripada keseluruhan 7.94 juta ahli aktif telah mencapai Simpanan Asas mengikut umur, iaitu RM390,000 pada usia 60 tahun.
“Pencapaian ini meningkat berbanding 2.71 juta ahli atau 35 peratus yang direkodkan pada 31 Mei 2025,” katanya.
Katanya, kerajaan bersama KWSP akan terus memperkukuh dasar dan mekanisme kewangan termasuk penambahbaikan insentif caruman serta perlindungan sosial bagi meningkatkan kecukupan simpanan persaraan dan menjamin kesejahteraan kewangan ahli pada masa depan. – KOSMO! ONLINE.















