PETALING JAYA – Isu yang membelenggu peniaga kecil dan pemain industri menjadi antara fokus Barisan Nasional (BN) Johor dalam siri kempen pilihan raya negeri (PRN) ketika ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, susulan itu, beliau bersama-sama BN Wilayah Persekutuan ‘turun padang’ bagi membantu calon-calonnya di Johor dengan bertemu para penduduk.
“BN Johor komited untuk memastikan mesej kestabilan, pembangunan ekonomi dan kemajuan Johor untuk rakyat dapat disampaikan kepada semua kelompok masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, semalam.
Menerusi pertemuan itu beliau memaklumkan, penerangan telah dilakukan berkisar beberapa persoalan berkaitan ekonomi, perniagaan serta isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat setempat.
“Ia khususnya (isu) yang melibatkan cabaran para peniaga kecil dan pemain industri.
“Saya ‘turun’ membantu dengan bertemu masyarakat Cina dan India, peniaga-peniaga kecil, pemain-pemain industri serta Dewan Perniagaan Cina Iskandar Puteri,” ujarnya.
Beliau berkata, pertemuan itu dilaksanakan bagi membantu calon-calon BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar (Datuk Pandak Ahmad), DUN Perling (Pannir Selvam) dan DUN Puteri Wangsa (Teow Chia Ling). – KOSMO! ONLINE














