fbpx
Hu Hoi (kiri) melihat durian musang king berkualiti yang dihasilkan oleh pekebun dari Gua Musang semalam. FOTO AIMUNI TUAN LAH

Pekebun ‘garu kepala’ jual musang king murah tak balik modal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Lebih 200 pekebun durian musang king di daerah ini berdepan tekanan kewangan apabila kejatuhan harga buah tersebut pada musim kali ini yang menjejaskan pusingan modal dan pengurusan kebun mereka.

Naib Pengerusi Persatuan Pelabur Pertanian Gua Musang, Tan Hu Hoi berkata, kesemua pekebun yang berdaftar dengan persatuan itu kini bergelut menampung kos operasi termasuk pembelian baja dan pembayaran upah pekerja, sekali gus berharap kerajaan dapat campur tangan dengan mewujudkan sebuah agensi khas bagi menyelaras pembangunan industri durian serta membantu aspek pemasaran, eksport serta kebajikan kumpulan tersebut.

“Setakat ini, tiada agensi khusus yang menjaga industri durian seperti Lembaga Koko Malaysia atau Lembaga Perindustrian Nanas. Oleh itu, kami berharap kerajaan dapat mewujudkan sebuah badan khas untuk membantu pekebun,” katanya ketika ditemui pada Pesta Durian Musang King di Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di sini semalam.

Sementara itu, wakil pekebun kecil, Lim Mai Khim, 57, berkata, kejatuhan harga durian menyebabkan pendapatan yang diperoleh tidak lagi mampu menampung kos penyelenggaraan kebun.

“Harga baja dan upah pekerja semakin tinggi. Kebiasaannya, musim durian menjadi masa kami membuat pusingan modal, tetapi kali ini hasil jualan tidak mampu menampung kos yang telah dilaburkan. Kami berharap ada mekanisme untuk membantu mengawal selia harga supaya pekebun kecil tidak terus menanggung kerugian,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Persatuan Musang King Kelantan, Yuganu Yunus berkata, kerajaan melalui jabatan dan agensi berkaitan disaran membina kemudahan stor sejuk beku di kawasan pengeluaran durian utama seperti Gua Musang, Kuala Krai atau Tanah Merah bagi memudahkan penyimpanan hasil ketika musim lambakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN