PETALING JAYA – Sebanyak 20 sekolah di daerah Segamat dan Tangkak dipilih menyertai program peningkatan mutu sekolah di bawah agenda Reformasi Sekolah menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebagai permulaan, lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah di setiap daerah seluruh negara dipilih menyertai program tersebut.
Katanya, surat pemilihan telah diserahkan kepada pengetua dan guru besar 20 sekolah berkenaan semalam dengan harapan ia menjadi model reformasi sekolah serta meningkatkan kemenjadian murid dan pencapaian sekolah secara holistik.
“Johor mempunyai potensi pendidikan yang sangat baik. Dalam tempoh tiga tahun terakhir, negeri ini berjaya meningkatkan pencapaian SPM sehingga mengatasi gred purata kebangsaan.
“Isu keciciran murid juga berjaya ditangani melalui intervensi berterusan di semua peringkat. Namun, pendidikan di Johor perlu terus diperkasakan demi manfaat anak-anak dan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini. – KOSMO! ONLINE














