PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Iran kerana tidak dapat menghadiri majlis penghormatan terakhir Allahyarham Ali Khamenei berikutan komitmen rasmi yang tidak dapat dielakkan.
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar berkata, beliau menyampaikan permohonan maaf itu ketika bertemu Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi di sela-sela Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39.
“Saya sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei.
“Saya juga menyampaikan permohonan maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis penghormatan terakhir Allahyarham berikutan komitmen rasmi yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Menurut Anwar, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah diamanahkan untuk mewakili Kerajaan Malaysia dan rakyat negara ini menghadiri majlis penghormatan terakhir tersebut.
Katanya, pelantikan Mohamad sebagai wakil rasmi mencerminkan penghormatan Malaysia terhadap hubungan baik dengan Iran selain tanda solidariti kepada negara itu dalam menghadapi saat berduka. – KOSMO! ONLINE














