fbpx
CASEMIRO meledak gol penyamaan yang mencetuskan kebangkitan Brazil ketika menewaskan Jepun untuk ke pusingan 16 terbaik. - AFP

Piala Dunia 2026: Brazil bangkit sahkan kemaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOUSTON – Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti mengakui tidak pernah hilang keyakinan walaupun pasukannya bergelut melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Jepun dalam aksi pusingan 32 terbaik saingan Piala Dunia 2026 semalam.

Menurut Ancelotti, tiada rahsia selain daripada meminta barisan pemain supaya kekal tenang ketika rehat separuh masa selepas ketinggalan 0-1 kerana percaya peluang untuk bangkit pasti akan tiba pada babak kedua.

“Pada waktu rehat saya memberitahu pemain supaya bersabar kerana lambat atau cepat kami akan menjaringkan gol. Apa yang penting ialah kami terus mengekalkan struktur permainan.

“Kami tahu kami berada di landasan yang betul (untuk bergelar juara) dan perlu terus mengikut haluan ini,” katanya.

Pada perlawanan itu, Brazil dikejutkan dengan jaringan Kaishu Sano pada babak pertama sebelum Casemiro menyamakan kedudukan dan Gabriel Martinelli muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

Ancelotti menjelaskan perubahan taktikal selepas rehat menjadi kunci kebangkitan Selecao apabila mereka beralih kepada corak permainan yang lebih dinamik untuk menguji gawang lawan.

Mengulas prestasi keseluruhan pasukannya, bekas pengendali Real Madrid itu menyifatkan aksi menentang Jepun adalah persembahan terbaik Brazil setakat ini pada kejohanan tersebut.

“Ini adalah perlawanan paling lengkap yang kami harungi setakat ini. Kami tidak hilang arah seperti ketika seri menentang Maghribi pada peringkat kumpulan,” katanya.

Sementara itu, Casemiro mengakui bahawa ketenangan dan tidak mudah gelabah ketika mereka ketinggalan menjadi kunci kemenangan pada perlawanan tersebut.

“Kemenangan ini adalah hasil daripada ketenangan dan kesabaran kami dalam terus memberi tekanan kepada Jepun yang bermain secara bertahan. Kami percaya bahawa dengan kekal tenang, akan tiba masanya kami berjaya menjaringkan gol.

“Kami berjuang sepanjang perlawanan dan menguasai permainan, jadi kami tahu peluang pasti akan hadir. Jepun sangat tersusun dalam bertahan, tetapi kami bermain dengan amat baik pada separuh masa kedua dan akhirnya memenangi perlawanan.

“Saya sangat gembira. Begitu ramai orang meraikan kemenangan ini. Saya amat berbangga dan kami kini mara ke pusingan seterusnya. Kami menantikan pusingan 16 terbaik, tetapi buat masa ini kami perlu berehat dan mengingatkan diri bahawa masih ada empat lagi perlawanan yang perlu diharungi,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN