KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) memperkenalkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu bermula esok, yang diperkasa dengan 94 ciri keselamatan berbanding 49 sebelum ini, merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik.
PMA juga menggunakan teknologi keselamatan termasuk guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram serta cetakan ultraviolet (UV) direka bentuk bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.
Pelancaran pasport baharu itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen hari ini serta dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM menjangkakan permintaan permohonan pertukaran atau pembaharuan pasport untuk meningkat dengan pengenalan PMA baharu ini.
Menurutnya, PMA baharu akan dikeluarkan secara berperingkat dengan 14 pejabat negeri pengeluaran pasport bagi fasa pertama, sebelum diperluaskan secara berfasa.
“Purata pengeluaran pasport dalam sebulan adalah antara 180,000 ke 220,000. Kita jangka yang baharu ini akan sedikit meningkat.
“Tetapi kita juga mohon rakyat Malaysia supaya tidak tergesa-gesa tukar. Kalau dah ada pasport masih valid, guna dahulu, tukar apabila perlu sahaja. Contoh dah tamat tempoh atau permohonan baharu dan sebagainya,” katanya kepada media hari ini.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan diedarkan kepada media, PMA baharu memberi pilihan kepada warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas untuk memohon dengan tempoh sah laku sama ada lima tahun atau 10 tahun mengikut keperluan pemohon.
Pengenalan pasport 10 tahun ini dijangka mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.
“Kadar bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun ditetapkan sebanyak RM350, manakala bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku lima tahun kekal pada harga RM200.
“Pengenalan tempoh sah laku 10 tahun ini turut memberi penjimatan sebanyak RM50 kepada pemohon berbanding kos pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dilakukan dua kali bagi tempoh yang sama,” katanya.
Menurut KDN, selain aspek keselamatan, PMA baharu turut mengetengahkan identiti nasional menerusi elemen sejarah, warisan budaya dan simbolik sistem Raja Berperlembagaan.
“PMA versi baharu memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai identiti baharu pasport Malaysia menggantikan Bunga Raya sebagai ikon utama untuk PMA sedia ada.
“Ikon utama baharu ini diperkenalkan sebagai lambang keunikan biodiversiti dan khazanah alam semula jadi negara,” katanya.
Pelaksanaan PMA baharu akan dilaksanakan secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara mulai Julai 2026 bagi memastikan peralihan operasi berjalan dengan lancar. – KOSMO! ONLINE














