KUALA LUMPUR – Bilik penginapan haram di atas bumbung bangunan sekitar Jalan Tun H.S. Lee dikesan disewakan pada kadar antara RM200 hingga RM800 sebulan, namun keadaan sempit dan tidak selamat disifatkan sebagai mengundang risiko kepada nyawa penghuni.
Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Norazam Khamis berkata, kadar sewa bergantung kepada saiz bilik dengan bilik terbesar berukuran kira-kira 10×10 kaki, manakala yang paling kecil hanya sekitar 6×4 kaki.
Katanya, bilik yang disewakan pada harga RM800 turut dihuni sehingga empat orang, manakala bilik paling kecil yang disewa pada harga RM200 masih menempatkan dua katil bujang.
“Walaupun bilik itu kecil, masih ada dua katil di dalamnya. Keadaan itu sendiri sudah menjadi perangkap maut sekiranya berlaku kebakaran,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Bersepadu Sarang Burung (Penginapan Haram Berisiko Tinggi) di sekitar jalan Tun H.S Lee.
Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati kebanyakan struktur dibina menggunakan kayu, papan lapis dan gypsum board yang mudah terbakar serta tidak mempunyai rintangan api seperti ditetapkan.
Menurutnya, ada juga bilik yang dijadikan tempat memasak dan tidur dalam ruang sama, selain sebahagian premis hanya mempunyai satu laluan keluar menggunakan tangga kayu.
Norazam berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, pengubahsuaian haram itu dipercayai dilakukan bagi menjana keuntungan mudah melalui kutipan sewa daripada penghuni.
Ops Bersepadu Sarang Burung dijalankan JBPM bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tiga premis sekitar Jalan Tun H.S. Lee yang diubah suai secara haram menjadi penginapan berisiko tinggi kebakaran. – KOSMO! ONLINE














