MONTERREY – Ketua Jurulatih Belanda, Ronald Koeman memulakan perang psikologi menjelang aksi Pusingan 32 menentang Maghribi di Stadium Monterrey pagi esok.
Menurutnya, The Oranje akan turun sebagai underdog selepas mereka menyedari bahawa Maghribi memiliki status yang lebih baik selepas muncul sebagai pasukan yang beraksi di separuh akhir pada edisi lalu.
“Saya tidak pasti adakah kami boleh dilabel sebagai pasukan pilihan untuk aksi menentang Maghribi. Apa yang pasti, kami perlu bersiap sedia untuk hadapi aksi itu dan ia akan menjadi perlawanan besar buat kami.
“Kami akan berdepan ujian sebenar menyebabkan semua persiapan yang dilakukan mestilah berada pada tahap terbaik. Maghribi adalah pasukan yang bagus, dibarisi ramai pemain berkualiti dan mereka ada kemampuan untuk menjaringkan gol dengan mudah,” katanya.
Koeman sedar tuntutan semasa adalah untuk meningkatkan lagi kualiti ketika bertahan selepas bolos dalam tujuh aksi terakhir termasuk melepaskan empat gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan.
“Kami akan memberi perhatian kepada perkara itu. Ia juga menjadi perkara yang kami bincangkan bersama barisan pemain,” katanya.
Koeman kekal dengan perspektif sama iaitu mahu melihat keberkesanan lebih baik mampu dipamerkan oleh mana-mana pemain yang bakal mengisi jentera serangan.
“Kami sudah pun menjaringkan 10 gol dalam tiga perlawanan awal. Jadi, untuk mendapatkan jaringan adalah menjadi sebahagian daripada tuntutan perlawanan,” katanya.
Sementara itu, penggempur Belanda, Cody Gakpo membuat keputusan untuk kekal bersama pasukan biarpun berdepan kesedihan ekoran kematian anaknya yang masih dalam kandungan pasangannya, Noa van der Bij.
Persatuan Bola Sepak Belanda cukup memahami situasi yang sedang dihadapi Gakpo, namun tetap menghormati keputusan pemain itu untuk terus kekal bersama pasukan dan berharap pemain itu mampu menguatkan mental untuk bersedia melaksanakan misi menggempur kubu Maghribi. – AGENSI














