fbpx
MAGHRIBI percaya status mereka kini sudah meningkat menjadi antara pasukan yang perlu disegani selepas kejayaan di Qatar empat tahun lalu. - AFP

Piala Dunia 2026: Maghribi tidak mahu pulang awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MONTERREY – Maghribi melaungkan amaran bahawa mereka enggan pulang awal dan mahu mengulangi prestasi terbaik seperti mana dilakukan di Qatar empat tahun lalu menjelang aksi kalah mati berdepan Belanda di Stadium Monterrey pagi esok.

Sebagai pasukan yang memiliki reputasi besar selepas layak ke separuh akhir pada edisi lepas, pengendali pasukan, Mohamed Ouahbi bertegas Maghribi sentiasa bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pencabar dan impian adalah kekal sama iaitu raih keputusan terbaik.

“Maghribi sudah pun memasuki dimensi baharu dan kami kena yakin yang kami mampu memenangi kejuaraan ini. Objektif adalah menang Piala Dunia dan untuk melakukannya, kami kena hormati setiap pasukan lawan serta yakin dengan kerja yang kami sedang lakukan.

“Seperti saya katakan, kami perlu memberikan komitmen 100 peratus. Kami sudah ada ramuan untuk jadi negara terbaik dan secara berpasukan kami cukup yakin mampu melakukannya,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi empat tahun lalu, Maghrib muncul pasukan dari benua Afrika pertama yang layak ke separuh akhir termasuk menewaskan pasukan gergasi seperti Sepanyol dan Portugal.

Berdasarkan aksi peringkat kumpulan, Maghribi sudah terbukti memiliki kualiti sebagai juara selepas mengikat juara lima kali, Brazil dan menang dua kali ke atas Scotland serta Haiti.

Keputusan seri dengan Brazil yang kini dilabel sebagai pilihan untuk bergelar juara dunia menjadi petanda jelas kemahuan Maghribi bukan lagi omongan kosong sebaliknya amaran besar buat pencabar lain.

“Kami berada di Piala Dunia dan turut membawa cita-cita besar. Perkara utama kami kena persiapkan diri kami sendiri terlebih dulu sebelum menilai kekuatan pasukan lawan,” katanya.

Ouahbi juga memikul tanggungjawab untuk membuktikan kejayaan Walid Regragui memimpin Maghribi berada di tempat keempat pada edisi lalu bukan sekadar kebetulan dan ia hadir menerusi kualiti yang ada pada setiap pemain The Atlas Lions.

Ouahbi juga pastinya mempuyai kemahuan lebih besar namun sedar jalan cerita kali ini akan berbeza sekali gus menuntut kerja keras daripada setiap anggota pasukan.

Walaupun pasukan sedang menikmati pencapaian yang agak baik di peringkat awal pertandingan, Ouahbi sudah memberikan amaran buat pemain supaya sentiasa mengekalkan kemahuan untuk jadi lebih baik.

“Sudah pasti kami kena perbetulkan beberapa perkara lagi. Sejurus tamat perlawanan, kami akan kaji dan menganalisa apa yang berlaku sekali gus membolehkan kami tambah baik setiap kelemahan” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN