PELBAGAI cabaran kewangan termasuk kos sara hidup semakin meningkat, komitmen diri dan keluarga, antara realiti dihadapi setiap orang termasuk graduan dan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Namun, di sebalik tekanan dihadapi, tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman pendidikan tersebut perlu diberi perhatian sekali gus tidak boleh diabaikan.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, bermacam inisiatif dan kemudahan disediakan PTPTN bagi membantu peminjam melaksanakan tanggungjawab itu, seterusnya dapat membantu lebih ramai lagi untuk meneruskan pengajian.

Menurutnya, bukan hanya bayaran secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN, PTPTN turut menyediakan rundingan bayaran yang lebih fleksibel melalui penstrukturan semula pinjaman kepada peminjam sekiranya mereka berdepan kesukaran kewangan.
“Dahulu kami pernah melakukan kajian dan mendapati ada peminjam culas ini yang tidak pernah membayar balik pinjaman PTPTN walau satu sen pun sedangkan sudah bekerja.
“Jika sudah bergelar graduan, tapi belum dapat pekerjaan, hubungi PTPTN dahulu untuk membuat penstrukturan semula pinjaman bayaran dan sebagainya.
“Jangan terus mengabaikan bayaran atau berdiam diri. PTPTN mempunyai pelbagai mekanisme yang boleh membantu peminjam menguruskan komitmen mereka mengikut kemampuan semasa,” katanya.
Beliau yang juga pakar kewangan pengguna itu berkata, masyarakat juga perlu memahami bahawa PTPTN bukanlah sebuah institusi berorientasikan keuntungan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pendidikan kepada rakyat.
“Dana yang dikembalikan oleh peminjam akan digunakan semula untuk membantu pelajar lain melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
“Jika ramai gagal membuat bayaran balik, ia boleh menjejaskan kelestarian dana pendidikan dan peluang generasi akan datang untuk mendapatkan bantuan pembiayaan,” katanya.
Mohamad Fazli berkata, beliau tidak menafikan ada graduan berdepan tekanan kos sara hidup dengan gaji diterima adalah minimum, sekali gus menghadapi kekangan untuk membayar semula pinjaman PTPTN.
Katanya, dalam masa sama, ada juga telah bergelar graduan sejak 10 hingga 15 tahun dahulu, namun masih belum membayar kembali pinjaman tersebut.
“Justeru, peminjam perlu ambil tindakan proaktif dan bukannya tidak membayar langsung. Pertama, kita nasihat kena tahu tanggungjawab sebagai peminjam, lunaskan hutang secepat mungkin.
“Kedua, jika berdepan cabaran, ambil usaha hubungi pihak PTPTN atau datang ke kaunter di ibu pejabat atau mana-mana cawangan untuk berbincang. Kita boleh bayar ikut kemampuan.
“Fikir dan buat cara penjimatan serta beri keutamaan untuk melunaskan hutang. Kalaulah kita beli sana sini untuk memenuhi kehendak, kenapa tidak kepada keperluan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, bekas graduan universiti awam, Nurul Ariffah Umar Bakri, 33, berkata, selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda, dia terus membayar pinjaman PTPTN bermula 2015 dan sudah menyelesaikannya tahun 2024.
“Saya sendiri pergi ke kaunter cawangan PTPTN dan berurusan untuk membuat penstrukturan semula pinjaman bagi pembayaran balik pinjaman. Saya membuat pinjaman PTPTN kira-kira RM20,000 lebih dan setiap bulan saya bayar RM150.
“Alhamdulillah, saya selesai melunaskan kesemua pinjaman secara berdisiplin. Pinjaman diterima dahulu banyak membantu saya di universiti dan ia perlu dibayar semula untuk anak muda lain melanjutkan pelajaran,” katanya.
Penjawat awam itu berkata, dia berharap mana-mana individu yang telah bekerja, namun belum melunaskan pinjaman tersebut supaya mengambil tanggungjawab itu sebaik-baiknya.
“Saya percaya setiap bayaran dibuat bukan sahaja melunaskan komitmen sendiri, ia membantu memastikan lebih ramai pelajar pada masa hadapan dapat menikmati peluang pendidikan yang sama,” ujarnya.
Sebagai makluman kepada peminjam PTPTN, pembayaran balik pinjaman hendaklah dibuat selepas 12 bulan tamat pinjaman tanpa perlu menunggu Notis Bayaran Balik daripada PTPTN.
Kos upah (Ujrah) secara bulanan akan dikenakan bermula pada bulan ke 13, manakala peminjam yang membuat bayaran balik lebih awal tidak akan dikenakan kos upah dalam tempoh 12 bulan tersebut.
Peminjam PTPTN yang masih belum bekerja dan menyambung pengajian secara sepenuh masa layak untuk memohon penangguhan bayaran balik pinjaman pendidikan berdasarkan syarat permohonan dan kelayakan.














