LENGGONG – Seorang pegawai kanan polis dan seorang guru wanita di Kolej Vokasional Gerik maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 30, Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu, di sini hari ini.
Mangsa yang maut ialah Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan Zuraida Abu Bakar, 47.
Dalam kejadian itu, lima lagi guru wanita yang menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Honda Odyssey termasuk pemandunya cedera dan dirujuk ke Klinik Kesihatan Lenggong.
Difahamkan ketika kejadian, kumpulan guru berkenaan dalam perjalanan pulang ke Gerik selepas menghadiri kursus di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong manakala kereta dipandu Melvindar Singh dari arah Gerik ke Ipoh.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 4.57 petang.
Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dinaiki seorang lelaki dan sebuah kereta Honda Odyssey dinaiki enam wanita.
“Terdapat mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan dengan dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera diserahkan pada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
“Operasi terkawal pada pukul 5.40 petang dan tamat sepenuhnya pada pukul 6.12 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














