PETALING JAYA – Eckem Holdings Berhad (Eckem) penyedia penyelesaian kimia perindustrian khusus di Malaysia, yang juga menjalankan pembuatan dan perdagangan produk getah, mengumumkan bahawa bahagian awam Tawaran Awam Permulaannya (IPO) telah terlebih langgan sebanyak 8.09 kali.
Ini menunjukkan minat pelabur yang kukuh dan sentimen pasaran yang positif terhadap pertumbuhan masa depan Kumpulan.
IPO Eckem terdiri daripada terbitan awam sebanyak 125.00 juta saham biasa baharu (saham terbitan) dan tawaran jualan sebanyak 62.50 juta saham sedia ada (saham tawaran).
Kumpulan menerima sejumlah 5,152 permohonan untuk 284,033,700 saham terbitan daripada orang awam , mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 8.09 kali.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,645 permohonan untuk 81,874,300 saham terbitan telah diterima di bawah bahagian awam bumiputera (lebihan langganan sebanyak 4.24 kali), manakala baki 3,507 permohonan untuk 202,159,400 saham terbitan di bawah bahagian awam yang lain mencatatkan lebihan langganan sebanyak 11.94 kali.
Kesemua 15.63 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI telah diambil sepenuhnya, susulan penggunaan peruntukan clawback dan peruntukan semula.
Mengulas mengenai kejayaan ini, Pengarah Eksekutif Eckem, Tan Khai Jeik berkata, sambutan positif ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap kehadiran Kumpulan yang mantap dalam sektor kimia perindustrian khusus dan hubungan jangka panjang kami dengan pelanggan perindustrian.
“Dengan dana yang dikumpul, kami menyasarkan untuk memperkukuh infrastruktur operasi kami, mengembangkan keupayaan pengeluaran kami untuk segmen produk getah kami dan meningkatkan lagi keupayaan kami untuk menyediakan penyelesaian kimia khusus bagi menyokong ekosistem pembuatan Malaysia,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














