KLANG – Tindakan seorang pekerja warga Bangladesh bersembunyi dalam timbunan sampah di dalam tong roro sebuah kilang perabot di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, petang ini gagal mengelakkannya daripada dicekup dalam Op Mega Jabatan Imigresen Selangor.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu berlaku ketika operasi dilakukan sekaligus menyebabkan pekerja asing bertempiaran lari dan cuba bersembunyi bagi mengelak ditahan.
Lelaki berusia 20-an itu berkata, dia panik sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum nekad memanjat tong roro dan menyorok di sebalik timbunan sampah.
“Saya baru sebulan bekerja di sini. Bila nampak pihak berkuasa datang, saya terus panik dan masuk dalam tong roro sampah untuk bersembunyi.
“Namun saya tetap ditemui dan ditahan,” katanya ketika ditemui,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Dia antara 252 pekerja warga asing yang diberkas Jabatan Imigresen Selangor atas beberapa kesalahan dalam Op Mega, kira-kira pukul 1 petang tadi.
Tinjauan di lokasi mendapati sebahagian pekerja cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di celah kotak dan mesin pemotong kayu, selain ada yang bertempiaran lari sebaik kawasan kilang dikepung.
Sementara itu, seorang lagi pekerja warga Bangladesh berusia 32 tahun berkata, dia dan rakannya turut bersembunyi di belakang almari ketika serbuan dilakukan.
“Kami terkejut dan tiada pilihan lain selain bersembunyi tetapi kena juga tangkap,” katanya. – KOSMO! ONLINE






