SEBERANG PERAI – Polis sudah mengenal pasti dua pemandu kereta yang tular memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuh Raya Utara Selatan, dari arah Jawi menghala Ke Bukit Tambun di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd. Norazmi Abd Ghapar berkata, pihaknya telah terkesan dengan satu video tular yang dimuat naik melalui aplikasi Facebook, semalam.
Menurutnya, video berdurasi dua minit 43 saat itu memaparkan tindakan dua buah kereta jenis Toyota Hilux dan Perodua Viva yang dipandu secara melulu dan berbahaya.
“Video tersebut menunjukkan seolah-olah dua kereta tersebut sedang berlumba di lebuh raya,. Pemanduan kedua-dua pemandu tersebut adalah amat berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Susulan kejadian ini, polis berjaya mengenal pasti kedua-dua pemandu terbabit dan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk diambil keterangan,” katanya di sini, petang tadi.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. -KOSMO! ONLINE














