SHAH ALAM – Seramai 1,012 penyewa Rumah Smart Sewa di Selangor boleh mengemukakan permohonan moratorium bermula hari ini bagi pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan.
Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang khas yang disediakan di pejabat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) atau Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB).
“Setiap pemohon perlu menyatakan alasan permohonan moratorium tersebut. LPHS dan PHSSB akan meneliti serta menilai setiap permohonan yang dikemukakan.
“Jika berjaya, moratorium akan bermula pada bulan depan. Maksudnya kalau permohonan dibuat pada bulan Jun dan diluluskan, moratorium itu akan berkuatkuasa bulan Julai,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau menjelaskan, tempoh moratorium tersebut ditetapkan selama tiga bulan dan selepas tamat tempoh itu, penyewa perlu menyambung semula bayaran sewa seperti biasa.
“Penyewa juga diberi pilihan untuk menjelaskan semula bayaran tertunggak moratorium pada bila-bila masa.
“Sekiranya mereka tidak membayar moratarium itu, kita akan potong duit sewa tiga bulan itu daripada duit sewa yang kita pulangkan semula (iaitu sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan bayaran sewa bulanan) kepada mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














