PELAKON Hollywood Giancarlo Esposito yang popular menerusi watak Gus Fring dalam drama bersiri Breaking Bad dilaporkan memeluk Islam ketika berada di Arab Saudi baru-baru ini.
Aktor berusia 68 tahun itu dilaporkan mengucap dua kalimah syahadah ketika menjalani penggambaran projek baharunya di negara berkenaan.
Giancarlo turut dilihat menunaikan solat bersama anggota produksi di sebuah masjid selepas melalui pengalaman berinteraksi dengan komuniti Islam sepanjang berada di Arab Saudi.
Pengerusi Lembaga Hiburan Umum Arab Saudi, Turki Al-Sheikh, turut memaklumkan pelakon itu melafazkan syahadah ketika berada di negara tersebut.
Menurut Al-Sheikh, keputusan Giancarlo untuk memeluk Islam terjadi selepas dia melalui pengalaman positif di Arab Saudi dan berinteraksi dengan Muslim di set penggambaran.
“Dia sangat kagum dengan komuniti Islam serta layanan yang diterima di sini,” katanya.
Sebelum ini dalam satu temubual, Giancarlo berkongsi pendapatnya tentang negara Islam, Morocco dan bagaimana dia terinspirasi dengan negara itu dan penerimaan masyarakat tempatan terhadapnya.
“Pada saya Morocco adalah negara dimana rakyatnya percaya dan setia kepada Tuhan yang satu. Hanya ada satu Tuhan iaitu Allah.
“Di negara kalian, Nabi Muhammad ialah segalanya. Saya dapat rasakan perkara yang sama. Ia mengubah hidup saya.
“Masyarakat di Morocco adalah cerminan kepada siapa diri saya. Mereka menerima saya. Saya harap lebih ramai rakyat Amerika (AS) datang ke sini dan memahami keindahan masyarakat di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














