KAJANG – Lelaki yang memulangkan semula dompet milik pasangan warga China seperti dipaparkan dalam video tular sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan kes kecurian dompet di sebuah pasar raya di Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.37 malam Rabu lalu.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang di kawasan CLC Hypermarket, Semenyih.
“Susulan laporan diterima, polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat yang tular di media sosial TikTok dan dipercayai dirakam selepas kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang pada pukul 1 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian kecemasan MERS 999 atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Kajang di talian 03-89114243,” katanya.
Sebelum ini, tular video memaparkan pertikaian antara seorang lelaki dan pasangan warga China di sebuah balai polis di daerah ini.
Pasangan berkenaan mendakwa wang tunai RM10,000 yang disimpan dalam dompet mereka hilang selepas dompet tersebut dipulangkan. – KOSMO! ONLINE














