PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Kedah (Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling) dan Perak (Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim).
Keadaan sama turut berlaku di Kelantan (Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh) dan Terengganu (Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera), Selangor (Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu dan Jempol) dan Johor (Segamat, Kluang dan Mersing),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu).
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat dan Kudat.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













