VANCOUVER – Kanada akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama di pentas Piala Dunia sekali gus memberikan kegembiraan buat penyokong di laman sendiri menerusi kemenangan besar ke atas Qatar awal pagi semalam.
Penggempur utama mereka, Jonathan David turut mencipta sejarah apabila meledak hatrik ketika membelasah Qatar 6-0 dalam aksi Kumpulan B sekali gus meletakkan mereka semakin hampir ke pusingan kalah mati.
Ketua Jurulatih Kanada, Jesse Marsch menyifatkan kemenangan itu sebagai detik bersejarah buat bola sepak negara tersebut yang akhirnya berjaya melakar kemenangan sulung di pentas Piala Dunia.
“Tiada siapa akan melupakan hari ini dan tiada rakyat Kanada akan melupakan detik ini. Ia membuktikan kami mempunyai bakat, mentaliti dan keinginan untuk bersaing di tahap tertinggi.
“Ini adalah saat yang cukup penting untuk semua orang melihat apa yang menjadikan negara ini begitu istimewa,” katanya.
Bagaimanapun, malam penuh kegembiraan tersebut dicemari insiden kecederaan ngeri yang menimpa tonggak tengah mereka, Ismael Kone apabila mengalami patah kaki kiri selepas diterjah pemain Qatar, Assim Madibo pada minit ke-51.
Marsch mengakui seluruh pasukan masih terkesan dengan insiden tersebut, malah mendakwa mereka yang berada di bangku simpanan dapat mendengar bunyi tulang Kone patah ketika terjahan berlaku.
“Saya belum sempat bercakap dengannya kerana dia berada di hospital untuk menjalani pembedahan. Keluarganya juga berada di sana. Insiden itu berlaku betul-betul di depan bangku simpanan dan semua orang dapat mendengar bunyi tulang itu patah,” katanya.
Marsch turut mendedahkan Madibo telah menemui Kone di bilik persalinan untuk memohon maaf selepas dilayangkan kad merah hasil semakan VAR, selain menegaskan insiden itu tidak berlaku dengan niat mencederakan lawan. – AGENSI














