SEBERANG PERAI – Lima individu termasuk dua warga asing ditahan selepas polis menyerbu sebuah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) secara tidak sah di Bukit Mertajam, di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, serbuan menerusi Op Hazard (E-Waste) pada jam 11.30 pagi itu dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Menurutnya, lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 35 hingga 60 tahun.
“Pemeriksaan mendapati tiga warga tempatan dipercayai merupakan pemilik serta pengendali premis berkenaan, manakala dua warga asing gagal mengemukakan permit kerja yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut oleh JAS mendapati premis berkenaan digunakan sebagai tempat penyimpanan dan pemprosesan bahan e-waste.
Katanya, sebanyak 15 beg jumbo mengandungi papan litar elektrik dan komponen elektronik yang dipercayai buangan terjadual ditemui dengan anggaran nilai keseluruhan kira-kira RM3 juta.
‘Siasatan awal mendapati premis itu dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu namun tidak memiliki lesen perniagaan yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














