PETALING JAYA – Syarikat teknologi global, AT&S mengumumkan hasrat untuk memperluas operasinya di Kulim, Kedah, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan teknologi berimpak tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu merupakan hasil daripada pertemuan dan perbincangan yang berlangsung pada awal Jun lalu yang kini diterjemahkan melalui komitmen pelaburan nyata oleh syarikat berkenaan.
Beliau berkata, pelaburan tersebut dijangka memperkukuhkan lagi ekosistem semikonduktor negara selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia.
“Keyakinan pelabur antarabangsa seperti AT&S membuktikan bahawa dasar yang jelas, kestabilan politik, tatakelola yang baik serta iltizam kerajaan untuk memacu transformasi ekonomi.
“Ia juga sedang meletakkan Malaysia di landasan yang tepat sebagai destinasi utama pelaburan teknologi maju dan pusat pertumbuhan ekonomi baharu di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkembangan tersebut amat bermakna dalam menjulang semangat saling percaya antara kerajaan dan pelabur global selain mencerminkan komitmen bersama terhadap masa depan ekonomi digital negara.
“Komitmen ini kini diterjemahkan melalui pelaburan yang nyata serta berimpak tinggi kepada negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.














