PUCHONG – Datang ke Malaysia untuk melancong, namun berakhir dengan menjual ais krim menggunakan motosikal selain mempunyai 15 rekod saman.
Itu alasan diberikan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 30-an yang ditahan dalam Operasi Pendatang Warga Asing (Ops Pewa) selepas didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Ketika ditemui, lelaki itu mendakwa baru tiba di Malaysia kira-kira tiga minggu lalu menggunakan visa pelancong untuk tujuan melancong.
Menurutnya, dia bagaimanapun mengalami kesukaran selepas wang tunai berjumlah RM2,000 yang dibawa bersama didakwa hilang akibat dicuri, menyebabkan dia kehabisan wang sepanjang berada di negara ini.
“Saya datang untuk jalan-jalan. Tetapi dompet hilang, duit RM2,000 kena curi. Jadi saya tiada duit dan terpaksa cari kerja sementara.
“Jumpa ini bos (aiskrim) dia kata boleh kerja. Sehari dapat RM200, RM50 upah saya selebihnya bagi bos,” katanya ketika ditemui selepas Ops Pewa, di sini, hari ini.
Lelaki itu juga berkata dia merancang pulang ke India pada 20 Jun ini selepas sudah pun membeli tiket penerbangan lebih awal.
Bagaimanapun semakan lanjut mendapati lelaki tersebut tidak mempunya lesen yang sah selain mendapati motosikal yang digunakan untuk menjual ais krim tersebut mempunyai 15 rekod saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Dalam operasi yang sama, seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun dilihat cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa dengan meninggalkan lorinya sebelum menyorok di dalam sebuah longkang berhampiran lokasi pemeriksaan.
Bagaimanapun, cubaan lelaki itu untuk mengelak daripada ditahan gagal apabila berjaya dikesan dan ditahan anggota penguat kuasa selepas pemeriksaan dilakukan di kawasan tersebut.
“Saya ganti orang sahaja hari ini, mahu pergi belakang kedai hantar barang. Hari ini dapat upah RM50. Hari biasa kerja di kedai perkakasan. Sudah tiga tahun masuk Malaysia dengan isteri,” katanya yang berasal dari Madura, Indonesia.
Hasil semakan mendapati pasport yang dimiliki lelaki berkenaan telah tamat tempoh dan tidak mempunyai sebarang lesen memandu.
Pemeriksaan lanjut ke atas lori yang dipandunya mendapati terdapat muatan kontraktor terdiri daripada besi tajam yang dikenal pasti berpotensi mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
Terdahulu, Operasi Pendatang Warga Asing (Ops Pewa) yang dijalankan secara bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sekitar kawasa Puchong dan Subang Jaya menyasarkan warga asing yang dipercayai melanggar undang-undang jalan raya.
Operasi yang dijadual berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis ini dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan di Selangor dan merekodkan pelbagai kesalahan termasuk penggunaan kenderaan tanpa dokumen sah, lesen memandu, cukai jalan serta insurans yang sah.
Timbalan Pengarah JPJ Negeri
Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi yang bermula pukul 9 pagi tadi berjaya memeriksa sebanyak 120 kenderaan dengan 34 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Menurutnya, sepanjang operasi, JPJ mengeluarkan 336 notis melibatkan 218 notis saman, 29 notis larangan penggunaan kenderaan, 29 notis arah periksa kenderaan, 34 notis penahanan kenderaan dan 26 notis temu siasat.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada lesen vokasional, gagal memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM), tiada perlindungan insurans serta pelbagai kesalahan teknikal lain.
“Sebanyak 34 kenderaan turut disita membabitkan 32 motosikal serta basikal tiga roda, sebuah kereta dan lori untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Ahmad Kamarunzaman menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap warga asing yang memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen dan dokumen sah.
“Orang ramai termasuk majikan
dan pemilik kenderaan diingatkan supaya tidak membenarkan warga asing menggunakan kenderaan mereka tanpa kelayakan yang ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














