LOS ANGELES – Iran terpaksa bekerja keras untuk mengelakkan kekalahan apabila bangkit dua kali sebelum mengikat New Zealand 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Stadium SoFi, sebentar tadi.
Turun selaku pasukan pilihan, Iran dikejutkan seawal minit keenam apabila penyerang New Zealand, Elijah Just memanfaatkan hantaran Chris Wood untuk meledak gol pembukaan sekali gus meletakkan pasukan bukan pilihan itu di depan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Iran meningkatkan tempo permainan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ramin Rezaeian pada minit ke-32 selepas menyempurnakan gerakan menarik yang dihasilkan jentera serangan mereka.
Bagaimanapun, New Zealand sekali lagi mencuri tumpuan apabila Just meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-53 hasil satu lagi bantuan Wood untuk mengembalikan kelebihan buat skuad All Whites.
Tidak mahu pulang dengan tangan kosong, Iran terus menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Mohammad Mohebi menyudahkan hantaran Rezaeian pada minit ke-64 untuk menjadikan kedudukan kembali terikat 2-2.
Selepas itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha memburu gol kemenangan dengan Iran lebih banyak menguasai permainan, namun ketumpulan penyudah menyaksikan kedudukan kekal hingga wisel penamat.
Keputusan tersebut menyaksikan semua pasukan dalam Kumpulan G mengutip satu mata selepas Mesir dan Belgium turut terikat 1-1 dalam satu lagi aksi pembukaan kumpulan itu. – AGENSI














