PETALING JAYA – Pelanggan bank di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega apabila semua transaksi pengeluaran wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tidak dikenakan caj RM1 bermula 1 Julai depan.
Berita gembira itu diumumkan oleh Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).
Menerusi satu kenyataan bersama ketiga-tiga agensi itu berkata, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad masing-masing.
Sekali gus kata mereka, pelanggan boleh menikmati pengeluaran tunai percuma tanpa had.
“Pengecualian caj tersebut terpakai bagi semua ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, langkah yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) itu mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih mudah diakses, inklusif dan berpatutan kepada pelanggan.
Namun kata mereka, wang tunai masih memainkan peranan penting sebagai kaedah pembayaran utama bagi ramai rakyat Malaysia dalam urusan harian.
“Pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank ini mencerminkan komitmen industri untuk memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, selain membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.
“Inisiatif ini turut memperkukuh usaha sektor perbankan dalam menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan terus mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal dan berfokuskan pelanggan.,” katanya. – KOSMO! ONLINE














