fbpx
GAMBAR fail menunjukkan komuniti Rohingya yang tinggal di negara ini termasuk untuk bekerja.

‘Kalau boleh balik, sudah lama kami balik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Di sebalik pelbagai persepsi negatif yang sering dilemparkan terhadap komuniti Rohingya di negara ini, hakikatnya ramai dalam kalangan mereka mengakui masih me­nyim­pan impian untuk pulang ke tanah kelahiran selepas berpuluh tahun menjadi pelarian.

Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, Yusof Ali, 64, berkata, kehidupan selama 36 tahun di Malaysia bukanlah sesuatu yang dirancang, sebaliknya lahir daripada keadaan terdesak apabila mereka terpaksa melarikan diri dari Myan­mar demi menyelamatkan nyawa.

“Saya sudah 36 tahun di Malaysia dan bekerja sebagai buruh. Isteri dan dua anak juga ada di sini. Kami tidak boleh balik sebab mereka tak terima.

“Jika boleh balik dan di sana (Myanmar) sudah boleh terima (Rohingya) serta keadaan aman, kami mesti balik. Harta benda dan saudara-mara kami ada di sana,” katanya di sini semalam.

Menurut Yusof, dia bersyukur kerana rakyat Malaysia sangat baik dan memberi peluang kepada etnik Rohingya untuk meneruskan kehidupan selain mencari rezeki yang halal di negara ini.

Namun katanya, desakan masyarakat yang sering meminta supaya semua Rohingya dihantar pulang bukanlah semudah yang disangka kerana ia melibatkan status pelarian dan penerimaan negara asal.

“Di sini, saya bekerja dan balik ke rumah. Ramai yang hidup secara sederhana dan tidak mahu menimbulkan masalah. Kami juga sedih apabila ada yang memburukkan nama Rohingya sehingga masyarakat marah kepada keseluruhan komuniti,” katanya.

Dakwanya, sebahagian ­Rohingya masih mempunyai harta dan saudara-mara di tempat asal, justeru hasrat untuk pulang sentiasa ada sekiranya keadaan mengizinkan.

Sementara itu, Pengerusi Rohingya Pokok Sena, Horumullah Ahmad Hussein, 35, berkata, dia telah menetap di Malaysia sejak 20 tahun lalu dan mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Kemboja serta dikurniakan tiga orang anak.

“Saya buat kerja-kerja pembinaan rumah dan tidak pernah buat masalah dengan penduduk tempatan. Saya hormat rakyat negara ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga merindui kampung halaman dan mahu pulang sekiranya kewarganegaraan mereka diiktiraf serta ­keselamatan terjamin.

“Saya tidak tahu Rohingya lain, sama ada mereka mahu pulang atau tidak kerana hati tidak sama. Tetapi jika ditanya kepada saya, saya mahu pulang.

“Kalau esok aman, esok juga saya balik. Saya merindui emak dan adik-beradik yang kini tinggal di kem pelarian di Bangladesh,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan komuniti Rohingya di negara ini berharap rakyat Malaysia tidak menghukum mereka secara membabi buta hanya disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh segelintir etnik tersebut, termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Di Hulu Langat, Selangor, seorang etnik Rohingya, Imam Hussein Abdul Kassim, 38, mendakwa kehidupannya bersama keluarga semakin sukar selepas lebih dua dekad menetap di Malaysia.

Sepanjang 21 tahun berada di negara ini, dia mendakwa beberapa kali terpaksa berpindah selepas penempatan yang didiaminya sebelum ini diarahkan dikosongkan.

Menurutnya, dia pernah menetap di sebuah bangunan di Kampung Baharu Sungai Makau selama kira-kira tiga tahun sebelum diarahkan mengosongkan kawasan berkenaan pada penghujung 2021.

“Selepas keluar, kami cari tempat lain untuk tinggal. Bangunan lama itu sampai sekarang masih kosong dan kami sudah tidak duduk di sana,” katanya.

Imam Hussein berkata, dia kini bersyukur kerana masih mempunyai tempat untuk ber­teduh di Sungai Tekali walaupun kehidupan semakin mencabar.

Katanya, dia tidak me­minta lebih selain peluang untuk ­bekerja bagi menyara keluarga terutama tujuh anaknya yang masih kecil.

“Saya cuma mahu hidup ­dengan aman. Saya tidak ganggu orang. Saya mahu kerja dan besarkan anak-anak.

“Anak saya tujuh orang, semuanya perlu dijaga. Itu yang saya fikir setiap hari,” katanya.

Menurutnya, kehidupan komuniti Rohingya kini semakin sukar apabila peluang pekerjaan semakin terhad berbanding sebelum ini.

Katanya, dia sebelum ini pernah bekerja dalam sektor kontrak dan binaan, namun keadaan sekarang menyebabkan ramai sukar mendapatkan pekerjaan.

“Dulu lebih mudah dapat kerja. Sekarang susah. Ada yang tidak mampu bayar sewa rumah sampai terpaksa keluar. Semalam pun ada kawan telefon saya menangis sebab kena halau rumah,” ujarnya.

Imam Hussein berkata, sebahagian penghuni kini melakukan kerja tidak formal termasuk mengumpul barang lusuh dan besi buruk bagi mendapatkan pendapatan harian.

Katanya, ada juga yang mengemis meminta bantuan apabila tiada pilihan lain kerana tidak mempunyai pendidikan serta kemahiran tertentu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN