BERMULA sebagai sajian trak makanan, Oh Fish & Chips semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar hidangan berasaskan ikan.
Terletak di LG-1-D, Nadayu 63, Taman Melawati, Kuala Lumpur, premis milik Mohamed Syahiid Mazelan dan isterinya, Zureen Nor itu tampil dengan konsep santai sambil mengetengahkan hidangan fish & chips premium yang menggunakan ikan import berkualiti tinggi.
Menurut Mohamed Syahiid, idea untuk menjalankan perniagaan tersebut tercetus selepas dia melihat peluang dalam pasaran makanan di kawasan Hulu Kelang sekitar dua tahun lalu masih belum banyak menawarkan fish & chips secara khusus, terutama dalam konsep gerai.
“Sebelum memutuskan untuk menjadikan fish & chips sebagai sajian utama, saya telah membuat tinjauan dan mendapati di kawasan ini tiada yang menjual hidangan ini.
“Jadi saya mengambil keputusan untuk mencuba dan alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan ketika memulakan perniagaan trak makanan sekitar 2024 sehingga kini sudah mempunyai premis.
“Menu utama Oh Fish & Chips adalah dua pilihan ikan import iaitu ikan perch dari New Zealand, manakala jenis kedua pula kami menggunakan ikan pollock Alaska,” katanya ketika ditemui CitaRasa.
Perch menjadi pilihan popular kerana memiliki isi yang tebal dengan rasa ikan yang lebih sederhana dan mudah diterima kebanyakan pelanggan.
Sementara pollock pula mempunyai tekstur sedikit sederhana, namun menawarkan rasa laut yang lebih kuat dan autentik.

“Kalau pelanggan kurang gemar rasa ikan yang terlalu kuat, saya cadangkan perch. Tetapi bagi mereka yang benar-benar mahu menikmati rasa ikan sebenar, pollock adalah pilihan terbaik.
“Selain set fish & chips biasa, pelanggan juga boleh mencuba menu Captain Catch! yang menggunakan ikan perch bersaiz lebih besar dan dihidangkan dalam saiz seekor ikan penuh,” ujarnya.
Bagi penggemar burger pula, Oh Fish & Chips menawarkan burger ikan atau sandwic ikan kerana menggunakan potongan isi ikan sebenar.
Berbeza dengan burger yang menggunakan isi ikan hancur dan dicampur bersama bahan lain untuk dijadikan sebagai patti ikan.
“Isteri saya suka burger ikan, jadi saya cuba hasilkan versi sendiri menggunakan isi ikan sebenar supaya pelanggan dapat menikmati tekstur dan rasa yang lebih premium.
“Turut menjadi pilihan pelanggan ialah nuget ikan dan udang rangup yang diperkenalkan bagi memberi lebih banyak variasi menu kepada pelanggan dewasa serta kanak-kanak,” katanya.
Menarik mengenai hidangan fish & chips di Oh Fish & Chips, Mohamed Syahiid memberitahu, premisnya memberi sentuhan tempatan pada sos tartar yang diolah sendiri menggunakan bahan-bahan import.
Lazimnya, sajian sos tartar Barat mempunyai rasa masam, namun dia melakukan sedikit olahan untuk disesuaikan dengan cita rasa masyarakat tempatan yang lebih menggemari keseimbangan rasa manis dan masam.

“Kami sangat menitikberatkan kualiti bahan mentah dan disebabkan itu antara bahan utama dalam sos ini iaitu lemon kami gunakan dari Afrika Selatan kerana mempunyai rasa lebih manis berbanding dari China dan Mesir yang agak masam.
“Bagi yang sukakan rasa pedas, kami juga ada menyediakan sos tartar pedas di samping makanan tambahan lain seperti salad campur dan nasi mentega herba untuk dimakan bersama fish & chips,” katanya.
Dibuka setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 10 malam, Oh Fish & Chips bakal terus menarik pelanggan apabila difahamkan akan menambah menu baharu berasaskan sotong pada masa akan datang sebagai pilihan makanan laut lain.
Meskipun sudah beroperasi di premis tetap, suasana santai trak makanan masih dikekalkan di dua cawangan iaitu Taman Melawati dan Taman Tun Dr. Ismail. Para pelanggan boleh buat pesanan terus menerusi platform media sosial kedua-dua cawangan tersebut.
















