PETALING JAYA – Golongan pendidik dan ibu bapa digesa supaya lebih peka terhadap barangan peribadi yang dibawa anak-anak ke sekolah susulan kewujudan botol air dengan rekaan ruang rahsia yang boleh digunakan untuk menyembunyikan barangan terlarang.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, seorang pengguna, Rohayaazlan, berkongsi video memaparkan sebuah tumbler yang kelihatan biasa dari luar, namun mempunyai fungsi tersembunyi.
“Cikgu-cikgu sekalian, selepas ini bolehlah semak tumbler yang dibawa murid. Mana tahu ada yang menyembunyikan barangan terlarang di dalam tumbler seperti ini. Hati-hati ya,” katanya.
Botol berkenaan boleh digunakan seperti biasa untuk mengisi air di bahagian atas, namun bahagian tengah dan bawahnya boleh dibuka serta dijadikan ruang simpanan khas.
Lebih mengejutkan, ruang rahsia tersebut cukup besar untuk menyimpan sebuah telefon pintar dan peranti rokok elektronik (vape).
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan kebimbangan serta mencadangkan pihak sekolah memperketatkan peraturan bagi mengelakkan penyalahgunaan botol berkenaan.
“Memang gatal tangan hendak bawa telefon ke sekolah. Kalau macam ini, kena periksa beg pelajar setiap hari,” kata R0t1a4.
“Adik saya pernah berdepan situasi apabila rakannya membawa vape dan meletakkannya di bawah meja. Mujur apabila dipanggil guru, pelajar tersebut mengaku. Geram betul rasanya,” ujar Lia.riz21.
“Sekolah patut menetapkan peraturan supaya pelajar hanya dibenarkan membawa botol air lut sinar,” cadang Irwanabdullah151.- KOSMO! ONLINE
View on Threads














