fbpx
Mohd. Isa Samad

Gelaran Tan Sri Isa Samad ditarik balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohd. Isa Abdul Samad berkuat kuasa pada 8 Jun lalu.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, penarikan balik kurniaan darjah berkenaan dibuat berikutan kesalahan Mohd. Isa yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.

“Ia juga titah Seri Paduka Baginda berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” katanya hari ini.

Pada Februari lalu, bekas Pengerusi Felda itu diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman bagi pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan pembebasan Mohd. Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah.

Panel hakim tersebut mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md. Arip. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN