PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan video memaparkan aktiviti perniagaan di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang tular baru-baru ini merupakan rakaman lama.
Penjelasan itu dibuat susulan tular video yang memaparkan beberapa individu dipercayai warga asing menjalankan aktiviti menjual jagung keju di kawasan tumpuan pelancong tersebut.
DBKL dalam kenyataan berkata, perbandingan visual mendapati video yang tular hanya memaparkan satu papan tanda di lokasi berkenaan, sedangkan keadaan semasa mempunyai dua papan tanda di kawasan tersebut.
“Video tersebut merupakan rakaman lama dan tidak menggambarkan situasi semasa. Berdasarkan rekod rakaman CCTV DBKL, tiada sebarang aktiviti perniagaan seperti yang dipaparkan dalam video tersebut di kawasan berkenaan sepanjang tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut, DBKL memaklumkan pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di sekitar kawasan Parlimen Bukit Bintang termasuk KLCC bagi memastikan aktiviti penjajaan haram dapat dibendung.
Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, DBKL berkata sebanyak 2,108 tindakan penguatkuasaan telah diambil di kawasan Imbi melibatkan 1,795 notis kompaun, 39 notis penguatkuasaan serta 274 sitaan atas pelbagai kesalahan termasuk halangan struktur dan penjajaan tanpa kebenaran.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














