KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan sekumpulan individu yang dipercayai mencuri kabel menggunakan kereta mewah jenis BMW di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di Jalan Dato Sulaiman.
Menurutnya, kegiatan itu telah disedari seorang saksi yang sedang menjalankan kerja-kerja berkaitan topografi di kawasan berkenaan.
“Saksi telah ternampak lima lelaki sedang menarik kabel sebelum bertindak menegur kumpulan tersebut.
“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan tiga buah kenderaan BMW iaitu dua berwarna putih dan satu berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi turut mengesahkan penglibatan lima suspek terbabit.
Katanya, pihak polis kini sedang giat mengesan dan mengenal pasti semua individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Pihak Telekom Malaysia turut hadir membantu siasatan dan mengesahkan kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000,” ujarnya.
Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














