fbpx
Tangkap layar memaparkan hantaran yang dimuat naik oleh @Alya.nays di laman Threads.

Kiki ‘Bride Assistant’ puaka sapu duit mas kahwin, barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Kiki’ menjadi bualan hangat netizen selepas beberapa individu tampil mendakwa kehilangan wang dan barang kemas ketika menggunakan khidmatnya sebagai pembantu pengantin atau ‘bride assistant’ (BA).

Pendedahan itu bermula apabila seorang pengguna Threads, @Alya.nays mendakwa wang mas kahwin dan cincin perkahwinannya hilang pada hari majlis sebelum beberapa individu lain tampil berkongsi pengalaman hampir sama.

“Ramai lagi mangsa yang menghantar mesej kepada saya. Cerita mereka hampir sama iaitu melibatkan kehilangan duit mas kahwin, cincin dan gelang ketika majlis berlangsung,” dakwanya.

Malah, wanita itu turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp yang menunjukkan individu berkenaan mengakui terdapat satu sampul mengandungi RM500 yang masih berada dalam simpanannya sebelum meminta nombor akaun untuk pemulangan wang tersebut.

Susulan perkongsian itu, pengguna Threads, @Palieynul mendakwa menerima wang kurang daripada RM600 yang merupakan jumlah sebenar yang terdapat dalam satu sampul yang diserahkan kepada BA tersebut.

“Rakan saya memaklumkan jumlah wang yang terdapat dalam sampul itu RM600, namun apabila saya menyemaknya semula selepas majlis, jumlah yang diterima kurang daripada RM600,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Ray16573 mendakwa wang salam kaut miliknya turut berkurangan kira-kira RM500 selepas diuruskan individu sama.

“Kami mempunyai rekod jumlah wang yang diberikan, namun apabila disemak semula didapati jumlahnya tidak mencukupi. Selepas membaca pendedahan yang tular hari ini, saya mula merasakan kehilangan wang tersebut mungkin mempunyai kaitan,” ujarnya.

Sementara itu, pengguna @Waniedanish19 pula mendakwa rantai emas milik anaknya hilang ketika majlis perkahwinan yang turut melibatkan BA berkenaan.

“Rantai emas anak saya hilang ketika majlis perkahwinan adik saya. Pada mulanya kami enggan menuduh sesiapa dan memilih untuk bersangka baik, namun selepas melihat ramai individu tampil dengan dakwaan hampir sama, saya semakin yakin individu tersebut terlibat,” katanya.

Selain itu, pengguna @Ysxrd mendakwa individu terbabit pernah mengambil bayaran RM500 bagi urusan sistem audio dan pengacara majlis, namun gagal menguruskan tempahan tersebut sebelum wang dipulangkan selepas didesak.

“Saya telah membuat bayaran RM500 bagi urusan sistem audio dan pengacara majlis, namun tempahan itu didakwa tidak diuruskan seperti yang dijanjikan. Wang tersebut hanya dipulangkan selepas saya berulang kali mendesaknya,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN