CAMERON HIGHLANDS – Cameron Highlands terus berhadapan masalah kesesakan semakin serius yang bagaikan tiada kesudahan sehingga mencetuskan keresahan kepada orang ramai termasuk penduduk tempatan.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, kesesakan itu dikenal pasti antaranya berpunca daripada ketiadaan tempat letak kenderaan yang mencukupi.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan penarikan balik peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membina Business Park yang merangkumi kemudahan tempat letak kenderaan bagi menampung keperluan di kawasan pelancongan tersebut.
“Reach tidak berniat untuk tuding jari kepada mana-mana pihak tetapi kami berpandangan tindakan yang lebih proaktif perlu diambil oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi menangani masalah yang semakin membebankan ini.
“Salah satu punca utama kesesakan di Kea Farm adalah kekurangan kemudahan tempat letak kenderaan yang mencukupi dan isu kesesakan lalu lintas ini bukanlah perkara baharu kerana telah lama menjadi rungutan penduduk serta pelancong yang berkunjung ke Cameron Highlands,” katanya di sini.
Kata Dilip, pihaknya difahamkan sebelum ini kerajaan negeri telah sediakan sebidang tanah untuk tujuan pembangunan Business Park yang merangkumi kemudahan parkir bagi menampung keperluan kawasan pelancongan tersebut.
Katanya, bagaimanapun projek berkenaan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan sehingga peruntukan sebanyak RM30 juta yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi ditarik balik.
Jelasnya, jika projek Business Park tersebut berjaya disiapkan, dia percaya masalah kesesakan ini dapat dikurangkan.














