PARIS – Bintang muda Russia, Mirra Andreeva mengesahkan statusnya antara pemain tenis paling berbakat di dunia apabila menjuarai Terbuka Perancis buat kali pertama selepas menewaskan Maja Chwalinska 6-3, 6-2 pada aksi final di Roland Garros, semalam.
Kejayaan itu menyaksikan Andreeva yang berusia 19 tahun muncul juara perseorangan wanita termuda di Roland Garros sejak Monica Seles memenangi gelaran ketiganya secara berturut-turut pada 1992.
Pemain pilihan kelapan itu akhirnya merealisasikan potensi besar yang sering diperkatakan ramai apabila meraih gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya dan menyertai kelompok elit juara utama tenis wanita seperti Iga Swiatek mahupun Aryna Sabalenka.
Andreeva mengakui dia sering membayangkan detik bergelar juara Grand Slam, namun perasaan sebenar mengangkat trofi berprestij itu jauh lebih istimewa daripada apa yang pernah diimpikannya.
“Saya sering membayangkan bagaimana dan bila perkara ini akan berlaku terutama menjulang gelaran Grand Slam di Terbuka Perancia.
“Namun, perasaan sebenar jauh lebih hebat. Melihat trofi ini dan menyedari saya kini seorang juara Grand Slam memang sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Walaupun Chwalinska mencuri perhatian apabila mara ke final dari pusingan kelayakan, pemain Poland itu gagal menampilkan aksi terbaik ketika berdepan tekanan di pentas terbesar dalam kariernya.
Sebagai juara, Andreeva membawa pulang wang hadiah AS$3.22 juta (RM12.9 juta), manakala Chwalinska yang dijangka melonjak ke ranking ke-21 dunia menerima AS$1.61 juta (RM6.4 juta) hasil penampilan terbaik sepanjang kariernya. – AGENSI














