fbpx
Mayat Mohd. Jamil ditemukan di Sungai Teluk Bagan di Alor Setar, hari ini.

Bekas ADUN ditemukan lemas dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Mantan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Mohd. Jamil Md. Idross, 78, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Teluk Bagan di sini awal pagi ini.

Mayat mangsa yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor ditemukan pasukan bomba kira-kira pukul 8.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima makluman awal daripada keluarga mangsa yang mengesyaki beliau terjatuh ke dalam sungai pada pagi ini.

“Pihak keluarga memaklumkan kali terakhir melihat mangsa kira-kira pukul 11.30 malam tadi sebelum menyedari kehilangannya pada pukul 5 pagi tadi. Keluarga mengesyaki mangsa terjatuh ke dalam Sungai Teluk Bagan selepas menemukan selipar miliknya berhampiran sungai,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa ditemukan oleh pasukan bomba kira-kira pukul 8.10 pagi.

“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi beliau dipercayai terjatuh iaitu kawasan selipar mangsa ditemukan,” ujarnya.

Katanya, pihak polis dimaklumkan bahawa mangsa baru keluar dari hospital kira-kira sebulan lalu dan mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis serta darah tinggi.

“Mangsa juga pernah menerima rawatan akibat jangkitan kuman di paru-paru. Beliau tinggal bersama isteri dan dua anak perempuan berusia 27 dan 29 tahun,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut bagi mengetahui bagaimana mangsa boleh terjatuh ke dalam sungai masih dijalankan.

“Keluarga mangsa mengesahkan beliau tidak mengalami kemurungan atau mempunyai sejarah psikiatri,” ujarnya.

Menurut Syed Basri, siasatan awal mendapati rutin harian mangsa adalah mengalihkan kenderaan dari kawasan rumah ke luar berhampiran sungai yang terletak bersebelahan kediamannya.

“Siasatan juga mendapati terdapat sebuah kereta Perodua Kancil berwarna putih yang dipercayai telah dialihkan oleh mangsa berhampiran sungai di lokasi kejadian. Turut ditemukan sepasang selipar yang disahkan milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes setakat ini diklasfikasikan sebagai mati mengejut.

Allahyarham Mohd. Jamil merupakan ADUN Pengkalan Kundor dari UMNO bagi tempoh 1995 hingga 1999 dan dari 2004 hingga 2008 serta Timbalan Speaker DUN ke-14 dari 2018 hingga 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN