TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas hilang selama 15 hari di Gunung Batu Putih, menangis sebaik sahaja bertemu lelaki Orang Asli yang menemuinya, Bah Roslan Bah Sulpok, 51.
Menurut Bah Roslan, dia menjumpai Jaslinda berjalan seorang diri menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu dekat Pos Musoh pada pukul 5.10 petang.
Katanya, ketika itu dia cuba memanggil wanita tersebut sebelum bergegas mendapatkan mangsa.
“Ketika itu saya sedang memancing sebelum terlihat kelibat seorang wanita bertudung sedang berjalan menyeberangi jambatan dalam keadaan lemah.
“Saya jerit panggil dia dan minta tunggu di sana. Bila saya pergi dekat, dia terus menangis dan minta tolong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, dia tidak sukar mengenali Jaslinda kerana telah melihat wanita itu melalui gambar yang dikongsi komuniti Orang Asli kawasan sekitar.
Katanya, melihat keadaan wanita itu yang lemah, dia terus membawa Jaslinda ke kediaman tok batin yang terletak kira-kira 1 kilometer dengan tujuan penemuan berkenaan dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
“Sampai sahaja rumah tok batin, dia terus cakap yang dia lapar,” katanya.
Di kediaman tok batin, Jaslinda dijamu hidangan mi segera, nasi berlaukkan ayam goreng dan ikan tengas serta ubi kayu rebus.
“Saya dan penduduk di sini katakan kepadanya tidak usah risau. Dia selamat di sini. Kami akan tolong dia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














