KAJANG – Seorang juruteknik maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Reko, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira pukul 11.13 malam itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 28 tahun yang dalam perjalanan dari Putrajaya menuju ke rumahnya di Semenyih.
“Pada masa sama, sebuah kereta yang dipandu lelaki terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal serta mangsa dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














