fbpx
Antara PATI ditahan JIM WPKL dalam Ops Sapu di Jalan Klang Lama, awal pagi tadi. Ihsan JIM

Taktik tutup laluan tikus jerat 78 PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Cubaan puluhan pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri melalui laluan tikus berakhir dengan kegagalan apabila kawasan operasi dikepung Jabatan Imigresen (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam Ops Sapu di sekitar Jalan Klang Lama, awal pagi tadi.

Taktik kepungan strategik yang dilaksanakan itu berjaya membawa kepada penahanan seramai 78 PATI yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

JIM WPKL berkata, operasi yang dijalankan susulan aduan awam dan risikan berterusan itu menyasarkan beberapa premis perniagaan serta kawasan penempatan yang menjadi tumpuan warga asing.

“Taktik mengejut itu bertujuan menutup segala laluan tikus bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri oleh pihak yang bersalah.

“Majoriti tangkapan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa di negara ini serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dokumen dan semakan biometrik dijalankan terhadap setiap orang kena periksa bagi mengenal pasti status imigresen mereka.

Malah, terdapat warga asing yang cuba bersembunyi di ruang sempit untuk mengelak ditahan, namun cubaan tersebut berjaya dipatahkan oleh anggota penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati seramai 78 individu diklasifikasikan sebagai orang kena tangkap.

“Kumpulan tahanan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar dan India,” katanya.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN