PETALING JAYA – Dataran Pahlawan Negara di Putajaya, hari ini menjadi saksi kepada pelaksanaan Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2026.
Markas Angkatan Tentera dalam satu kenyataan berkata, istiadat ketenteraan penuh tradisi itu melambangkan ketaatsetiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.
Jelas kenyataan itu, Istiadat berkenaan merupakan acara utama bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong dan dilaksanakan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh pemerintahan baginda iaitu pada tahun pertama, ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.
“Tahun 2026 merupakan penganjuran kali kedua selepas pelaksanaan kali pertama pada tahun 2024. Istiadat ini melibatkan seramai 148 pegawai dan 1,192 anggota lain-lain pangkat.
“Istiadat ini turut menghimpunkan ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Sekali gus mencerminkan kesatuan, disiplin dan kesiapsiagaan angkatan dalam mempertahankan kedaulatan negara,”kata kenyataan itu.
Tambah Markas Angkatan Tentera, sebanyak lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak dalam istiadat ini melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan TUDM.
Panji-panji ini bukan sekadar simbol ketenteraan, malah melambangkan sejarah perjuangan, kehormatan pasukan dan semangat juang yang diwarisi turun-temurun dalam tradisi ketenteraan ATM.
“Dalam era pertahanan moden, panji-panji bukan sahaja melambangkan tradisi dan warisan ketenteraan, malah menjadi simbol kekuatan semangat, identiti dan kesetiaan warga ATM yang melengkapi keupayaan aset serta teknologi pertahanan negara.
“Ia turut menjadi peringatan kepada generasi masa kini terhadap pengorbanan dan perjuangan warga ATM terdahulu dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara,”katanya.
Selain itu kata Markas Angkatan Tentera, panji-panji itu juga memaparkan ‘Battle Honours’ yang menjadi simbol kepada sejarah perjuangan dan pengorbanan ATM dalam pelbagai operasi dan misi mempertahankan negara.
“Ia sekali gus mencerminkan legasi keberanian dan pengabdian warga ATM yang sentiasa menjunjung nilai kesetiaan kepada Raja dan Negara,”katanya.
Istiadat pada kali ini turut diserikan dengan pelbagai elemen tradisi ketenteraan antaranya Hormat Diraja, Tembakan Kehormatan Artileri sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) serta terbang lintas hormat lima pesawat helikopter ATM yang membawa Jalur Gemilang, Bendera ATM dan bendera ketiga-tiga perkhidmatan.-KOSMO! ONLINE














